Pemuliharaan Orkid Beri Manfaat Kepada Biodiversiti Negara | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Pemuliharaan orkid beri manfaat kepada biodiversiti negara

Pemuliharaan orkid beri manfaat kepada biodiversiti negara

Article Summary
Sebut sahaja orkid, pastinya umum kenali sebagai pokok hiasan yang mempunyai nilai yang tinggi serta boleh mencecah ribuan ringgit untuk spesis yang tertentu. Orkid juga adalah keluarga tumbuhan berbunga iaitu dalam bahasa saintifiknya adalah Orchidaceae.


Oleh: Noor Eszereen Juferi

Sebut sahaja orkid, pastinya umum kenali sebagai pokok hiasan yang mempunyai nilai yang tinggi serta boleh mencecah ribuan ringgit untuk spesis yang tertentu. Orkid juga adalah keluarga tumbuhan berbunga iaitu dalam bahasa saintifiknya adalah Orchidaceae.

Orkid juga dikatakan eksotik serta merupakan antara tumbuhan yang asalnya hidup liar di hutan dan mempunyai pelbagai spesis serta mempunyai keunikkan dan kelas yang tersendiri.

Di Malaysia, dengan kekayaan orkid yang melebihi 3,000 spesies mempunyai potensi besar untuk memberi impak dalam senario perdagangan antarabangsa, disamping memberi tumpuan kepada isu pemuliharaan.

Pensyarah Jabatan Biologi, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Rusea Go berkata, pemuliharaan biodiversiti berkait rapat dengan pemulihan ekosistem serta perlindungan sumber semula jadi untuk kesejahteraan sejagat dan orkid merupakan antara komponan biodiversiti yang mempunyai peranannya sendiri.

“Walaupun peranan orkid dalam rantaian ekosistem belum difahami sepenuhnya namun keupayaannya untuk menyerap air serta nutrien dari udara merupakan satu kelebihan kemandirian yang perlu dikaji lebih lanjut untuk memberi manfaat kepada industri pertanian tanpa guna tanah,” katanya.

Tambah beliau, pemuliharaan orkid amat perlu di negara ini kerana setiap hari permintaan terhadap orkid meningkat bukan hanya di dalam negara malah seluruh dunia dan ini menyebabkan beberapa spesies terancam dengan kepupusan di habitat asal.

“Tekanan kepupusan ini semakin meruncing kerana penuaian berlebihan oleh penuai haram (illegal harvester) dan kepupusan di habitat asal akan tentunya mengganggu rantaian ekosistem yang sihat dan dinamik komponen biodiversiti negara,” katanya.

Tambah beliau, pemuliharaan orkid tidak boleh berlaku secara berasingan, ia berlaku sebagai satu pakej yang melibatkan semua flora dan fauna yang berkaitan. Namun setakat ini, hampir tidak ada kemajuan yang dicapai dalam bidang penghibridan dan pengkomersilan di negara ini.

“Dengan 1,80,168 kacukan berdaftar di seluruh dunia dengan Royal Horticulture Society, sumbangan Malaysia bagi bilangan hibrid yang didaftarkan ialah kurang daripada 300. Buat masa ini bagi memenuhi permintaan penanam kebanyakan hibrid diimport dari Thailand dan Taiwan,” katanya.

Beliau turut mencadangkan untuk jangka panjang adalah lebih baik Malaysia komersialkan hibrid orkid sendiri untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dari dalam dan luar negara serta untuk mencapai matlamat ini perlu adanya pendekatan berasaskan institusi dengan kerjasama penanam dan tapak semaian swasta yang berpengalaman menguruskan orkid secara komersial.

Prof. Dr. Rusea yang berasal dari Sarawak, menjadi wanita Iban pertama mendapat PhD dalam jurusan sains telah berkhidmat di UPM hampir 24 tahun berkata harapan beliau sebagai pensyarah untuk melihat UPM sebagai universiti yang unggul dalam melahirkan ramai ahli botani yang berkaliber dan memiliki minat yang mendalam terutamanya kesediaan untuk meredah hutan belantara.

“UPM merupakan Menara Ilmu yang menakjubkan dengan peluang pembelajaran yang serba dinamik, gedung ilmu yang tidak menghadkan pembelajaran teori malah dilengkapi dengan kemahiran praktikal dan jati diri yang menyeluruh,” katanya.

Prof. Dr. Rusea juga telah menjelajah hutan belantara hampir 30 tahun bagi kajian orkidnya telah menemui, memerihalkan dan penerbitan 26 spesies tumbuhan baru untuk sains, yang mana 13 adalah orkid antaranya ialah Vanilla norashikiniana, Vanilla sanguineovenosa, Dendrobium ainiae, Dendrobium ruseae, Dendrobium mizanii, Bromheadia petuangensis, Corybas puatii and Dendrobium abangjoei.

Beliau juga telah menghasilkan dan mendaftarkan 5 hibrid baru orkid, iaitu Dendrobium Tuanku_Haminah Royale Rusea Go RHS 2015, Papillionanda Sultan Sharaffudin Idris Shah Rusea Go RHS 2021, Papillionanda Tengku Norashikin Rusea Go RHS 2021, Vanchoanthe Haris Kasim Rusea Go RHS 2021 and Aranda UniPutra Gold Rusea Go RHS 2021.

Prof. Dr. Rusea akui tidak ramai orang muda di zaman kini sanggup kerja lapangan terutamanya di hutan dan bidang tersebut hanya dikuasai sepenuhnya melalui pengalaman kerja lapangan dan tidak dengan hanya melalui pembacaan bahan rujukan.

“Malaysia dianugerahkan hutan yang luas dengan biodiversiti yang tinggi, tiada negara lain yang lebih sesuai dijadikan tempat mengkaji biodiversiti selain di hutan hujan yang luas seperti di Malaysia, dan amat sesuai untuk melahirkan ramai ahli botani yang kompeten.

Sebagai penyelidik beliau ingin meningkatkan usaha dalam pemuliharaan kepelbagaian biologi hutan dengan merealisasikan pengenalan semula spesies orkid yang terancam ke habitat asalnya sambil meneruskan usaha menyelamatkan orkid dari kawasan hutan terganggu, terutamanya kawasan pembalakan, di bawa ke pusat konservatori bagi tujuan pemulihan.

“Saya juga ingin menjalankan penyelidikan berskala besar berkaitan dengan penghuraian kumpulan atau spesies tumbuhan yang kompleks di mana projek ini melibatkan koleksi spesimen dari seluruh dunia.

Selain itu, beliau juga mahu meneruskan projek mikropropagasi dan ‘DNA barcoding’ untuk spesis tumbuhan terancam bagi tujuan pemuliharaan dan hasil dari mikropropagasi ini berpotensi untuk industri florikultur dan dikomersilkan di peringkat global.

“Sudah tiba masanya pendekatan bersepadu dan fokus ke arah pemuliharaan orkid perlu diambil sebelum terlambat,” katanya.

Selain itu, Prof. Dr. Rusea telah berjaya mendapat pelbagai dana penyelidikan dan kebanyakan geran ini diterima daripada organisasi antarabangsa yang terkemuka, sebagai pengiktirafan kepada peranan beliau memajukan pengetahuan botani tropika dan penemuan biodiversiti dalam Malaysia, khususnya orkid, tumbuhan ubatan, dan pengetahuan etnobotani masyarakat pribumi Malaysia. - UPM

Date of Input: 07/12/2022 | Updated: 07/12/2022 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BXMaBAR~