PASARAN NANAS MD2 | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » PASARAN NANAS MD2

PASARAN NANAS MD2

Article Summary
Nanas madu atau MD2 kini semakin popular dan mendapat permintaan di pasaran kerana memberikan rasa manis dan keenakan yang unik kepada si pemakan. Varian ini memberikan kelazatan istimewa yang tidak memberikan rasa lidas (rasa pedih atau gatal pada lidah) dan empulur yang lembut berbeza dengan nanas yang lain.


Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari 

 

Nanas madu atau MD2 kini semakin popular dan mendapat permintaan di pasaran kerana memberikan rasa manis dan keenakan yang unik kepada si pemakan.

 

Varian ini memberikan kelazatan istimewa yang tidak memberikan rasa lidas (rasa pedih atau gatal pada lidah) dan empulur yang lembut berbeza dengan nanas yang lain.

 

Baru-baru ini pasaran nanas MD2 di Malaysia telah diperluaskan menembusi Osaka sekali gus menyumbang kepada peningkatan jumlah eksport negara bahkan membantu pemain industri negara dalam menambah pendapatan.

 

Sehingga kini, hampir 20 negara mengimport produk nanas antaranya Singapura, Mesir, China dan Jepun mengikut laporan yang dikeluarkan oleh Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

 

Dalam pada itu, LPNM pada 2021 telah menyeru agar lebih banyak pihak membabitkan diri dalam bidang penananam nanas, khususnya jenis MD2, yang masih kurang penghasilannya, sedangkan permintaan di pasaran amat tinggi.

 

 

Menurut Penolong Pegawai Pertanian, Unit Tanaman Nanas Pusat Pertanian Putra (PPP) Universiti Putra Malaysia (UPM) Mohamad Imran Omar berkata terdapat 16 jenis varieti nanas di Malaysia namun pasaran MD2 mendapat sambutan yang menggalakkan dek permintaan yang tinggi oleh peminatnya.

 

Katanya pasaran nanas jenis ini di Malaysia mendapat sambutan yang tinggi selepas sawit dan durian kerana penggunaan buah nanas yang pelbagai dalam negara bukan sekadar segar dimakan namun mendapat permintaan dalam penghasilan jus, sambal nanas, jem, kuih, salad buahan, sabun dan sebagainya.  

 

Tambahnya lagi, MD2 merupakan buah premium kerana isinya yang sedap akan memberikan rasa ketagihan selain kulitnya yang nipis dan boleh mencecah sehingga empat kilogram (kg) sebiji.

 

Selain menjadi salah satu sumber kekayaan baharu negara dalam sektor pertanian, tanaman nanas ini mudah untuk dijaga kepada pengusaha kerana ia tidak memerlukan siraman air yang banyak dan hanya perlu memastikan sistem perparitan yang baik bagi mengelakkan takungan air.

 

Tanaman ini juga tidak memerlukan sistem penggiliran tanaman melainkan pokok tersebut telah diserang penyakit seperti Reput Teras Bakteria (bacterial heart rot) yang sedikit menganggu industri nanas Malaysia.

 

Hal ini demikian kerana, penyakit ini masih tiada ubat namun langkah kawalan perlu diambil apabila pokok telah dijangkiti penyakit iaitu dengan mencabut dan membakar pokok yang rosak manakala kawasan tanaman perlu diletakkan sulfur serta clorox.

 

Imran berkata penyakit ini dapat dikesan apabila melihat pokok nanas mula layu dan rosak.

 

Dalam pada itu, para pengusaha nanas perlu sentiasa memastikan buah nanas dalam keadaan yang baik serta mengawal rumpai pada pokok nanas yang merupakan antara ancaman buat penghasilan buah nanas yang premium.

 

Para peraih tidak mahu mengambil hasil buah nanas yang kurang cantik walaupun hanya terdapat sedikit sahaja kerosakan pada buah.

 

 

Oleh itu, pengusaha perlu kreatif dan mengolah hasil yang tidak dibeli dengan menjadikannya baja kompos dan dapat mengurangkan sedikit kos baja.

 

Uniknya, tumbuhan ini akan menghasilkan tiga jenis sulur iaitu sulur angin, sulur tanah dan sulur tangkai yang boleh dijadikan benih tanaman selepas penghasilan buah nanas.

 

Sementara itu, benang tekstil berkualiti tinggi juga mampu dihasilkan melalui serat nanas sekaligus memberi pulangan berganda buat pengusaha nanas selain pasaran buahnya yang berkhasiat dan bermutu tinggi.

 

Daripada serat daun nanas juga boleh terhasilnya sehelai kertas dan menjadi sebuah buku catatan serta penghasilan pelbagai bekas atau kotak cenderamata yang bermutu tinggi.

 

Inovasi ini menunjukkan perusahaan nanas sememangnya membuka pelbagai peluang baharu bidang keusahawanan dalam dunia pertanian sekiranya produk nanas dimanfaatkan semaksima mungkin. -UPM

Date of Input: 18/12/2023 | Updated: 20/12/2023 | ezzatyazhari

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BXLZFAk~