Article Summary
Setiap kali tiba musim monsun, isu banjir pasti menjadi tajuk utama, membawa bersama pelbagai cabaran besar kepada masyarakat, terutamanya sektor perniagaantani. Baru-baru ini, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia (KPKM) melaporkan kerugian lebih RM177 juta akibat banjir, dengan majoriti mangsa adalah golongan petani.
Oleh: Dr. Muhammad Mu’az Mahmud, Pensyarah Kanan Jabatan Perniagaantani dan Ekonomi Biosumber, Fakulti Pertanian (muaa@upm.edu.my)
Setiap kali tiba musim monsun, isu banjir pasti menjadi tajuk utama, membawa bersama pelbagai cabaran besar kepada masyarakat, terutamanya sektor perniagaantani. Baru-baru ini, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia (KPKM) melaporkan kerugian lebih RM177 juta akibat banjir, dengan majoriti mangsa adalah golongan petani.
Meskipun jumlah kerugian akibat Monsun Timur Laut dilihat menurun daripada RM1.03 bilion pada 2022 kepada RM755 juta pada 2023, angka ini tetap menunjukkan betapa seriusnya cabaran ini. Sebagai tunjang keterjaminan makanan negara, sektor pertaniagaantani perlu diperkukuh melalui usaha kolektif semua pihak – masyarakat, peniaga, petani, dan kerajaan.
Sebagai pengguna, masyarakat memainkan peranan penting dalam menyokong kelangsungan sektor ini. Sokongan kepada hasil pertanian tempatan, walaupun harganya mungkin naik akibat kesan monsun, adalah langkah kecil tetapi signifikan. Membeli produk tempatan bukan sahaja membantu petani terus bertahan, malah memberi keyakinan kepada mereka untuk terus menghasilkan bekalan makanan negara.
Selain itu, masyarakat juga boleh memainkan peranan lebih aktif dengan menyertai program bantuan banjir atau menghulurkan sumbangan kepada komuniti yang terjejas. Usaha mengetengahkan cabaran petani melalui media sosial juga dapat membantu membuka mata lebih ramai pihak tentang kepentingan menyokong sektor ini.
Dalam masa yang sama, pengguna disarankan untuk bijak menguruskan penggunaan dan penyimpanan makanan bagi mengelakkan pembaziran serta mengurangkan tekanan ke atas rantaian bekalan makanan.
Peniaga merupakan nadi penghubung antara petani dan pengguna. Dalam situasi mencabar seperti musim monsun, peniaga perlu bertanggungjawab mengelakkan pencatutan harga walaupun bekalan berkurangan. Ini penting bagi memastikan barangan asas tetap mampu dibeli oleh masyarakat.
Selain itu, peniaga juga boleh menyokong petani dengan membantu memasarkan hasil mereka atau merancang stok lebih awal sebelum musim monsun tiba. Namun, perancangan ini perlu bijak untuk mengelakkan kerugian akibat stok yang rosak.
Petani turut perlu bersedia menghadapi cabaran musim monsun sebagai tulang belakang sektor ini. Penggunaan varieti tanaman tahan banjir seperti kacang panjang dan tomato, serta amalan tanaman campuran jangka pendek dan panjang, mampu memastikan kestabilan pendapatan mereka.
Bagi penternak pula, memastikan kandang atau tempat perlindungan berada di lokasi tinggi dan kukuh adalah langkah penting bagi melindungi ternakan daripada bencana. Mereka juga disarankan untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengurusan bencana melalui pelbagai platform digital yang kini semakin mudah diakses.
Kerajaan memainkan peranan kritikal dalam memastikan sektor pertaniagaantani dapat bertahan ketika monsun melanda. Sebagai tonggak utama bantuan dan dasar, pelbagai inisiatif perlu diperkasakan, termasuk pemindahan ilmu kepada petani terutamanya golongan berusia yang mungkin kurang celik teknologi.
Pihak kerajaan juga disarankan memperkenalkan mekanisma penstabilan harga bagi melindungi petani dan pengguna. Pemantauan harga sayur dan hasil pertanian yang sering melonjak tinggi semasa musim monsun perlu dilakukan dengan lebih tegas untuk mengurangkan beban pengguna.
Dalam pada itu, kesan Monsun Timur Laut terhadap sektor pertaniagaantani bukanlah satu cabaran yang mudah diatasi, namun ia bukanlah mustahil jika semua pihak bersatu serta memainkan peranan masing-masing, sektor ini bukan sahaja mampu bertahan tetapi juga berkembang dalam menghadapi cabaran monsun.
Dengan sokongan yang padu, sektor pertaniagaantani mampu menjadi benteng keterjaminan makanan negara dan terus menjana ekonomi walaupun berdepan badai monsun.
Date of Input: 21/02/2025 | Updated: 21/02/2025 | hairul_nizam
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA