Article Summary
Hari Raya Aidilfitri tidak hanya berkaitan dengan amalan keagamaan, tetapi juga turut mencerminkan nilai-nilai budaya dan sosial yang keharmonian dan mengikut ajaran Islam serta norma masyarakat. Justeru, bagi menerapkan keharmonian dan kesopanan itu, adab dan etika merupakan elemen yang sangat penting.
Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim
Hari Raya Aidilfitri tidak hanya berkaitan dengan amalan keagamaan, tetapi juga turut mencerminkan nilai-nilai budaya dan sosial yang keharmonian dan mengikut ajaran Islam serta norma masyarakat. Justeru, bagi menerapkan keharmonian dan kesopanan itu, adab dan etika merupakan elemen yang sangat penting.
Hari Raya Aidilfitri sepatutnya disambut dengan penuh harmoni serta kegembiraan. Ia menggambarkan betapa Ramadan yang telah berlalu itu dijalani dengan penuh keberkahan, bersyukur kepada Allah atas segala nikmat, serta menyatukan hati.
Menurut Prof. Dr. Rumaya Juhari, Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga, Fakulti Ekologi Manusia, UPM, berkata media sosial hari ini sangat mempengaruhi adab serta cara generasi kini menyambut Aidilfitri. Media sosial dijadikan keutamaan yang juga berupaya menjai agen sosialisasi.
“Masyarakat menjadikan media sosial sebagai kompas hidup mereka dengan memilih untuk berkongsi saat perayaan mereka di media sosial melalui gambar dan video bagi memaparkan kegembiraan mereka.
“Sesetengah generasi muda mungkin lebih tertarik untuk mengikuti trend daripada menghayati makna sebenar sambutan Hari Raya serta menjaga hubungan kekeluargaan dan menghormati orang tua kerana fokus mengikut trend,” ujarnya.
Menurut Prof. Dr. Rumaya Juhari yang merupakan pakar Ekologi Keluarga dan Kanak-kanak berkata media sosial boleh memberi kesan yang baik serta negatif terhadap adab dan etika ketika beraya, bergantung kepada cara penggunaan oleh individu.
Selain itu, memupuk semula adab beraya dalam kalangan generasi muda adalah suatu usaha yang memerlukan pendekatan yang holistik, di mana ibu bapa memainkan peranan yang amat penting. Mereka bukan sahaja berperanan sebagai pendidik utama, tetapi juga sebagai teladan yang akan membentuk pemikiran dan tindakan anak-anak mereka.
“Ibu bapa perlu mengingatkan anak-anak tentang makna sebenar Hari Raya, iaitu untuk mensyukuri nikmat, bermaaf-maafan dan merapatkan hubungan silaturahim, di mana pendidikan mengenai adab dan etika beraya seharusnya bermula sejak kecil.
“Ibu bapa juga harus menggalakkan anak-anak untuk menghargai keunikan tradisi keluarga dan menghormati cara sambutan Hari Raya yang berbeza antara satu keluarga dengan yang lain,” katanya.
Seterusnya, budaya viral di media sosial memberi kesan yang mendalam terhadap cara orang menyambut Hari Raya, terutamanya dalam kalangan generasi muda dengan aplikasi media sosial seperti Instagram, TikTok dan WhatsApp.
Menurut Prof. Dr. Rumaya, budaya ini memberi tekanan kepada mereka yang tidak mampu mengikuti serta menyebabkan rasa rendah diri dan mendorong kepada pembaziran semata-mata untuk memenuhi jangkaan yang tidak realistik.
“Hari Raya sepatutnya merangkumi nilai spiritual, hubungan kekeluargaan serta pengukuhan ikatan sosial, tetapi kadang kala menjadi lebih kepada usaha untuk mendapat perhatian dan pengiktirafan di dunia maya,” ujarnya.
Walaupun media sosial memberi peluang untuk menyebarkan kegembiraan serta menghubungkan individu yang jauh, namun ia memberikan cabaran baru dalam mengekalkan nilai-nilai adab dan etika beraya.
Dalam hal ini, menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan bahawa sambutan Hari Raya Aidilfitri perlulah selaras dengan nilai-nilai Islam yang luhur serta budaya masyarakat kita yang menekankan adab, etika dan kesederhanaan.
Date of Input: 28/03/2025 | Updated: 28/03/2025 | hairul_nizam
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA