Jatuh Berisiko Ragut Nyawa Warga Emas | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Jatuh Berisiko Ragut Nyawa Warga Emas

Jatuh Berisiko Ragut Nyawa Warga Emas

Article Summary
Punca utama warga emas terjatuh adalah kemerosotan keseimbangan kerana fungsi otot dalam badan mereka merosot dan lemah.


Masalah ‘terjatuh’ sering terjadi dalam kalangan warga senja sehinggakan masyarakat beranggapan ia sebahagian daripada proses penuaan dan ia adalah perkara biasa.

Situasi ini berlaku di seluruh dunia, yang membimbangkan yang boleh menjejaskan kesihatan yang serius serta kebebasan dan kualiti golongan warga emas ini.

Antara kecederaan yang sering terjadi seperti mengalami pendarahan otak, kecederaan pada kulit, patah tulang terutama pada bahagian pinggul, dan kecederaan otot sendi.

Pakar Perubatan Keluarga, Penjagaan Warga Emas, Prof. Dr. Sazlina Shariff Ghazali, berkata masyarakat perlu peka terhadap insiden jatuh dalam kalangan warga emas kerana ia memberi kesan kepada kehidupan dan memerlukan perhatian sepenuhnya.

 

Terdapat banyak sebab mengapa ramai warga emasberhadapan masalah ketidakseimbangan sehinggamenyebabkan mereka mudah jatuh, cedera, sampai satu tahap boleh membawa maut.

Punca warga emas terjatuh
 
Punca utama warga emas terjatuh adalah kemerosotan keseimbangan kerana fungsi otot dalam badan mereka merosot dan lemah.

Contohnya penghidap angin ahmar, parkinson, sakit sendi atau diabetes berisiko terjatuh kerana daya seimbangan badan mereka telah terjejas.

Rata - rata golongan ini tidak banyak melakukan pergerakan atas sebab penyakit kronik (contohnya, arthritis atau penyakit jantung), jadi gangguan keseimbangan dan kesukaran bergerak boleh meningkatkan risiko jatuh.

Tambahan lagi, persekitaran yang tidak selamat seperti lantai licin, tangga tanpa pegangan, atau pencahayaan yang kurang mempengaruhi risiko untuk ‘jatuh’.

Malah faktor ubat-ubatan yang dimakan dalam proses rawatan penyakit kronik antara penyebab tekanan darah menurun mendadak sehingga mereka mudah jatuh dalam keadaan tidak sedar.

Selain itu, kemurungan juga boleh menyebabkan warga emas hilang keseimbangan kerana tidak fokus kepada persekitaran.

Gangguan emosi ini menyebabkan terlalu risau dan takut untuk berjalan sehingga kesihatan mental mereka turut terkesan.
 

Apa yang perlu dilakukan?
 


Prof. Dr. Sazlina berkata, apabila warga emas terjatuh mereka perlu mendapatkan rawatan dan penilaian doktor meskipun kecederaan itu dianggap remeh.

Menjadi amalan pegawai perubatan akan bertanya sejarah kesihatan sama ada mereka pernah terjatuh atau tidak semasa mendapatkan rawatan.

Sering kali mereka tidak akan bersikap terbuka tentang ini kerana risau akan dilabel sebagai orang tua yang menyusahkan anak-anak dan menganggap ini perkara remeh.

Oleh itu setiap ahli keluarga memainkan peranan yang penting  mengenalpasti mencari jalan penyelesaian untuk mencegah isu ini.

 
Langkah atasi masalah terjatuh
 

Pada masa sama beliau memberitahu agar masyarakat diberi ilmu penjagaan kesihatan bagi menangani insiden jatuh ini.

Asasnya, mengamalkan gaya hidup sihat seperti senaman sangat penting untuk menguatkan otot-otot dan mengelakkan daripada penyakit-penyakit yang berisiko seperti, diabetis, tekanan dan sakit jantung.

Lakukan senaman yang kerap untuk memastikan tulang kuat dan meningkatkan kekuatan dan keseimbangan otot.

Selain itu, mendedahkan kepentingan penjagaan kesihatan seperti pemeriksaan kesihatan berkala, imunisasi, serta pendidikan mengenai gaya hidup sihat termasuk langkah-langkah pencegahan lain.

Ahli keluarga berperanan untuk menggalakkan golongan ini terlibat secara aktif dalam aktiviti fizikal dan sosial, menjaga pemakanan dan memastikan kesejahteraan emosi. 

Keluarga juga perlu membuat pemantauan kesihatan secara berterusan, membantu menguruskan penyakit seperti diabetes, tekanan darah tinggi, atau penyakit jantung dengan mendapatkan rawatan yang berkesan.

Contohnya, memastikan pengambilan ubat berjadual serta kesesuaian ubat bagi mengelakkan risiko terjatuh.

 
Tuntasnya, setiap orang akan mengalami proses penuaan dan masyarakat perlu memberi sokongan, perhatian, serta menguruskan kesihatan diri dan keluarga untuk memastikan kehidupan yang berkualiti hingga ke akhir hayat.

Date of Input: 30/09/2024 | Updated: 30/09/2024 | syamilakamarul

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BXMaBA3~