IPR-INTAN@UPM: Bekalkan Ilmu Perniagaantani Untuk Manfaat Masa Depan | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » IPR-INTAN@UPM: bekalkan ilmu perniagaantani untuk manfaat masa depan

IPR-INTAN@UPM: bekalkan ilmu perniagaantani untuk manfaat masa depan

Article Summary
Inisiatif penganjuran Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) Usahawan Tani (IPR-INTAN) di Universiti Putra Malaysia (UPM) (IPR-INTAN@UPM) bukan sekadar untuk melahirkan petani moden malah bagi membekalkan ilmu perniagaantani kepada peserta untuk dimanfaatkan di masa hadapan.


Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

 

Inisiatif penganjuran Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) Usahawan Tani (IPR-INTAN) di Universiti Putra Malaysia (UPM) (IPR-INTAN@UPM) bukan sekadar untuk melahirkan petani moden malah bagi membekalkan ilmu perniagaantani kepada peserta untuk dimanfaatkan di masa hadapan.

 

Program itu adalah kerjasama UPM dan Kementerian Ekonomi yang melibatkan peserta golongan B40 untuk meningkatkan pendapatan mereka melalui pertanian berteknologi tinggi.

 

Perkara ini adalah sejajar dengan hasrat negara untuk memperkukuhkan bekalan makanan negara yang kini kian meruncing atas faktor larangan eksport di sesetengah negara.

 

Sungguhpun program ini memberi fokus mengenai pertanian dan akuakultur, namun peserta turut diterapkan ilmu perniagaantani dalam membantu pasaran produk secara berkesan dan betul di masa depan.

 

 

Tenaga pengajar, Prof. Dr. Rozanah Ab Rahman, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), UPM berkata penyampaian ilmu keusahawan yang digarapkan dalam program ini adalah secara keseluruhan untuk membina minda perniagaan peserta secara dinamik.

 

“Pengajaran asas perniagaan ini adalah penting untuk memulakan perniagaan kerana ianya menyentuh hal ehwal perniagaan serta persediaan untuk membawa hasil tanaman itu keluar untuk dipasarkan,” katanya.

 

Menariknya para peserta turut diberi pendedahan untuk menyediakan pelan perniagaan dan turut didedahkan dengan Business Model Canvas (BMC) supaya perjalanan pemasaran dan perniagaan dapat dijalankan dengan lancar kelak.

 

“Peserta yang ingin ke arah usahawan pertanian perlu bersedia terutama dari segi penjenamaan supaya produk tersebut dikenali oleh pelanggan dan ini juga memerlukan peserta untuk mempelajari teknik yang betul dalam memasarkan produk pertanian,” katanya.

 

Tambah beliau, tajuk penjenamaan ini sangat penting untuk peserta memahami prosesnya kerana ianya berkait dengan inovasi hasil yang baharu dan cara produk dipasarkan juga memainkan peranan dalam memastikan produk itu berjaya di pasaran. 

 

“Untuk sesuatu produk itu sempurna ianya mempunyai teknik jadi  kita sebagai tenaga pekerja perniagaan adalah baik untuk  memahami penghasilan produk berkualiti itu perlu dalam menjayakan penjenamaan.

 

Selain itu, para peserta turut mempelajari beberapa modul pengajaran secara teori iaitu modul tanaman, modul ternakan akuakultur dan modul keusahawanan. Latihan amali turut dijalankan melalui kolaborasi bersama rakan strategik industri.

 

Modul pertanian

 

Sementara itu, menurut tenaga pengajar modul tanaman, Dr. Puteri Edaroyati Megat Wahab berkata, pentingnya peserta untuk mengikuti latihan ini kerana ianya adalah pengetahuan asas untuk mengetahui cara penanaman yang betul bagi sesuatu tanaman.

 

Modul yang dibangunkan untuk IPR-INTAN diolah menggunakan modul yang dibangunkan dari Program Inkubasi Usahawantani Fakulti Pertanian, UPM.

 

Tambah beliau, program itu sangat baik untuk membantu golongan B40 meningkatkan ekonomi mereka serta secara langsung menjadi salah satu solusi bagi menjamin isu sekurititi makanan negara.

 

 

 

“Peserta bukan sahaja didedahkan dengan teori ilmu pertanian malah diajar secara praktikal secara intensif yang akan membantu mereka dan akan mendapat manfaat apabila berada di lapangan kelak,” katanya.

 

Beliau yang merupakan pengajar segmen pertanian bagi teknik dan penanaman sun melon berkata buah ini mendapat permintaan yang tinggi kerana dengan teknik yang betul mampu mengeluarkan hasil yang baik.

 

“Penaman sun melon di Malaysia mempunyai potensi untuk pergi jauh walaupun terdapat varieti sun melon lain, jenis yang kita tanam ini amat sedikit dipasaran.

 

 

Ditanya mengenai perbezaan pertanian zaman dahulu dan kini Dr. Puteri Edaroyati menyatakan perbezaan ketara  ialah kemunculan jentera dan teknologi tidak lagi memerlukan penggunaan cangkul atau bermain dengan selut.

 

“Kini penggunaan teknologi dalam pertanian banyak membantu dalam  kuantiti serta kualiti pertanian untuk melakukan kerja secara produktif dan menghasilkan produk pertanian yang berkualiti,” katanya.

 

Potensi industri akuakultur bantu keterjaminan makanan negara

 

Melalui program ini bukan sahaja membuka potensi dalam bidang pertanian malah peserta juga didedahkan dengan industri akuakultur yang juga membantu dalam memperkukuhkan keterjaminan makanan negara.

 

Sementara itu, tenaga pengajar bidang akuakultur, Dr. Fadhil Syukri Ismail menyokong inisiatif IPR-INTAN yang secara tidak langsung memperkenalkan bidang akuakultur kepada masyarakat terutama golongon B40.

 

Beliau yang juga pakar akuakultur berkata pentingnya peserta mempunyai ilmu dalam bidang tersebut kerana ianya memerlukan pemahaman asas yang kuat bagi menjalankan aktiviti akuakultur.

 

“Inisiatif ini sekaligus membuka minda para peserta dalam meningkatkan penghasilan pendapatan melalui ternakan ikan yang menitik beratkan kelestarian serta menangani tanggapan tentang akuakultur dengan memaparkan amalan moden dalam industri ini.

 

“Dengan adanya ilmu asas kita dapat mengelakkan kesalahan yang tidak menguntungkan,” katanya.

 

Beliau berpandangan kerjaya akuakultur kurang diminati golongan belia Malaysia disebabkan kurang kesedaran dalam bidang ini serta pengenalan berkenaan industri ini yang terhad kepada masyarakat.

 

“Saya amat berharap program pendidikan sebegini boleh ditumpukan di sekolah serta universiti untuk menyampaikan mesej kepada pelajar tentang manfaat kerjaya dalam akuakultur,” katanya.

 

 

 

Peranan industri turut memberikan impak dalam memupuk minat golongan belia untuk berkecimpung dalam bidang tersebut.

 

“Pendedahan industri akuakultur kepada peserta membolehkan mereka mempelajari aspek praktikal akuakultur secara terus dan menonjolkan peluang ekonomi dalam kerjaya akuakultur, termasuklah peluang pekerjaan dan keusahawanan yang menyumbang kepada keterjaminan makanan peringkat global,” katanya.

 

Antara modul yang diajar kepada para peserta IPR@UPM ialah asas akuakultur, pemakanan dalam akuakultur, pembenihan, kualiti air, penyakit dalam akuakultur, pra dan pasca tuai serta teknologi terkini dalam akuakultur.

 

Selain itu, pakar UPM yang turut menjadi jurulatih dalam program itu ialah Prof Muta Harah Zakaria @ Ya, Prof Salleh Kamarudin, Dr. Annie Christianus dan Dr Diyana Taher yang mempunyai kepakaran dalam masing-masing.

Date of Input: 06/02/2024 | Updated: 06/02/2024 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BXMaBAz~