Dunia Maya Sarang Kebebasan Bersuara, Menuntut Kesantunan Berbahasa | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Dunia maya sarang kebebasan bersuara, menuntut kesantunan berbahasa

Dunia maya sarang kebebasan bersuara, menuntut kesantunan berbahasa

Article Summary
Media sosial menjadi medium manusia mencipta pentas dunianya sendiri umpama taman penuh warna-warni yang dihiasi oleh kata-kata bak bunga mekar di tanah subur. Setiap jari menjadi pena untuk mengungkap pesan yang terbuku di lubuk hati dan sudut fikiran.


Oleh: Sharifah Hannah Adibah Wan Serail
Pelajar Bacelor Sastera (Bahasa dan Linguistik Melayu) dengan Kepujian
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK)
Universiti Putra Malaysia (UPM)

 

 

 

Media sosial menjadi medium manusia mencipta pentas dunianya sendiri umpama taman penuh warna-warni yang dihiasi oleh kata-kata bak bunga mekar di tanah subur. Setiap jari menjadi pena untuk mengungkap pesan yang terbuku di lubuk hati dan sudut fikiran.

 

Sudah terang lagi bersuluh, Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan Malaysia dengan tegas menyatakan bahawa tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara.

 

Persoalannya, pantaskah aturan tersebut diangkat sebagai lesen bagi penaburan ujaran kebencian (hate speech), penyebaran maklumat palsu dan pengaruh negatif dalam dunia maya tanpa sempadan ini?

 

Dunia maya merupakan ruang bagi penghuni dunia untuk meluahkan perasaan, mencari pengalaman serta maklumat, di samping mengambil bahagian dalam menyuarakan sudut pandang yang bervariasi.

 

Kita tidak mampu untuk menyatupadukan warga dunia di bawah satu bumbung, namun penyatuan ini maujudnya berlaku di dunia maya, dan terlihat nyata apabila warga dunia bersatu menentang isu kemanusiaan di bumi Palestin.

 

Terdapat pempengaruh Malaysia yang mempertahankan hak asasi saudara sesama Islam di bumi Palestin dengan menghidangkan fakta dalam isi bicara, sopan dalam berbahasa dan menyeru warga dunia dengan cara yang positif.

 

Santun berbahasa bukan sahaja tentang penggunaan bahasa yang baik dan sopan, tetapi melibatkan cara penyampaian dan perkongsian maklumat yang betul berlandaskan fakta, dan ini merupakan langkah terbaik untuk membuka mata dan fikiran lebih banyak warga dunia akan isu sosial yang berdendang dalam dunia maya.

 

Dalam membicarakan isu tersebut, janganlah kita samakan darjat kita setaraf dengan “himpunan Israel” yang menggunakan media sosial untuk berbicara kasar, tanpa akal.

 

Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), UPM, Dr. Sharil Nizam Sha'ri berkata, setiap pemilihan bahasa dan kata yang digunakan menggambarkan perwatakan seorang penutur atau penulis.

 

Hanya melalui ungkapan yang diterbitkan, pendengar atau pembaca dapat mengamati sifat penutur atau penulisnya, sama ada beradab atau biadap, berpendidikan atau tidak berpendidikan, dan berakal atau cetek pemikiran.

 

Jika penggunaan bahasa di media sosial tidak diimbangi dengan pertimbangan moral dan etika, kebebasan bercakap dan bersuara akan disalahertikan oleh komuniti sosial yang tidak bertanggungjawab dan dapat menjadi pemangkin kepada runtuhnya akhlak, seterusnya berpotensi mencetuskan berbagai isu sosial lainnya.

 

Menurut Dr. Sharil Nizam, kesantunan berbahasa merangkumi ruang lingkup yang sangat luas. Dalam konteks penggunaan bahasa dalam media sosial, masyarakat boleh menggunakan bahasa Melayu standard, bahasa slanga mahupun dialek masing-masing.

 

Bagaimanapun, penutur atau penulis perlu tahu khalayak yang terlibat, topik yang dibincangkan dan perkara yang dikongsikan serta memikirkan kesannya terhadap diri sendiri dan pihak lain.

 

Dalam konteks ini, setiap individu dituntut untuk menggunakan media sosial secara beretika dengan tidak mengeluarkan kata-kata cemuhan, khususnya berbaur fitnah yang berupaya menjatuhkan dan mencemarkan nama baik individu lain, di samping menghormati pendapat masing-masing agar mencipta persekitaran dunia maya yang positif.

 

Tambah Dr. Sharil Nizam, sebahagian besar masyarakat tidak berkemahiran dan tidak fasih dalam menggunakan bahasa yang betul. Kemahiran dan penguasaan bahasa hendaklah berkesinambungan daripada di bangku sekolah hinggalah meningkat dewasa agar pengetahuan berbahasa dapat dipraktikkan secara lisan dan tulisan, sama ada secara realiti mahupun di dunia maya.

 

Tidak dapat dinafikan bahawa pengguna media sosial sering kali menggunakan platform tersebut untuk mengejar populariti tanpa memikirkan kesannya terhadap diri sendiri mahupun pihak lain.

 

Namun, kebanyakan individu yang mengejar populariti tidak sedar akan pengembangan personaliti diri yang perlu hadir seiring dengannya untuk mencipta personaliti diri yang “autentik”. Apabila populariti dan personaliti yang positif berjalan seiring, maka lingkungan turut akan menerima kesan yang positif.

 

Oleh hal yang demikian, dalam sarang kebebasan bersuara inilah suatu aturan abadi perlu terus bergema – kesantunan berbahasa.

 

Dr. Sharil Nizam turut berkata, agama Islam sendiri menekankan kepentingan komunikasi yang baik, penggunaan bahasa secara santun dan bijaksana, serta seterusnya menghormati orang lain dalam segenap aspek tanpa mengira latar belakang sesama insan.

 

Penggunaan bahasa yang santun bukan sahaja mencerminkan semangat kebersamaan, kekitaan dan keharmonian, tetapi turut mencerminkan jati diri dan nilai positif dalam setiap warga dunia, khususnya bangsa Malaysia sendiri.

 

Santun dalam berbahasa merupakan nilai tradisi berupa tatasusila dan norma sosial yang sangat dijunjung tinggi dalam citra bangsa Malaysia dalam memikul amanah yang cukup besar untuk memelihara integriti bangsa yang bertamadun ini, meski hanya di dunia maya.

 

Kesantunan berbahasa bukan bermakna menghambat hak asasi manusia dalam bercakap dan bersuara dengan bebas tanpa rasa khuatir, tetapi merupakan suatu bentuk amanah untuk mengekalkan hak asasi ini dalam kerangka etika dan ketertiban demi kesejahteraan bersama.

Date of Input: 11/01/2024 | Updated: 11/01/2024 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BXMaBAc~