Duit Raya Boleh Jadi ‘Harta Karun’ Masa Depan? | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Duit Raya Boleh Jadi ‘Harta Karun’ Masa Depan?

Duit Raya Boleh Jadi ‘Harta Karun’ Masa Depan?

Article Summary
Menerima duit raya sinonim dengan kegembiraan kanak-kanak setiap kali Syawal menjelang. Sampul berwarna-warni berisi wang kertas menjadi simbol kemeriahan, menjadikan hari raya lebih bermakna.


Oleh: Nurin Amyra Amir Ahmad, Wartawan Pelatih Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), UPM

 

 

 

Menerima duit raya sinonim dengan kegembiraan kanak-kanak setiap kali Syawal menjelang. Sampul berwarna-warni berisi wang kertas menjadi simbol kemeriahan, menjadikan hari raya lebih bermakna.

 

Namun, di sebalik kegembiraan ini, ibu bapa memikul satu amanah penting, menguruskan duit raya anak-anak dengan bijak. Seperti yang diingatkan dalam hadis, "Setiap kamu adalah penjaga, dan setiap penjaga akan ditanya tentang apa yang dijaganya.” (HR Bukhari & Muslim).

 

Jika diurus dengan baik, duit ini bukan sekadar untuk membeli mainan atau makanan kegemaran, tetapi juga boleh menjadi permulaan kepada simpanan masa depan mereka.

 

Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Taha Mohd Omar, berkata, pemilihan tempat simpanan duit raya anak bukan sekadar soal keselamatan, tetapi juga keberkatan.

 

 

"Elakkan menyimpan dalam akaun konvensional yang melibatkan riba. Sebaliknya, pilihlah akaun yang berasaskan prinsip Islam seperti Wadiah (simpanan amanah), Mudarabah (perkongsian untung), atau Tawarruq (pembiayaan patuh syariah) yang lebih terjamin dari sudut pematuhan syariah," jelasnya.

 

Justeru, terdapat beberapa pilihan kaedah simpanan yang sesuai berdasarkan tempoh dan keperluan kewangan anak-anak.

 

Pilihan Simpanan Mengikut Tempoh Masa

  1. Simpanan jangka pendek (Di bawah 2 tahun)
    Jika memerlukan akses mudah, akaun seperti BSN-i dan Bank Islam (Wadiah Savings Account) adalah pilihan terbaik. Akaun ini membolehkan ibu bapa menyimpan duit raya anak dengan selamat sambil memastikan ia bebas daripada unsur riba.
  2. Simpanan sederhana (2 hingga 5 tahun)
    Untuk simpanan yang berkembang dengan pulangan lebih baik, SSPN-i Plus dan ASB-i adalah pilihan utama. Selain memberikan keuntungan dalam bentuk dividen, SSPN-i Plus juga menawarkan perlindungan takaful sebagai nilai tambah.
  3. Simpanan jangka panjang
    Bagi perancangan kewangan masa depan, Tabung Haji dan Unit Amanah Islamik seperti Public Mutual dan CWA lebih menguntungkan. Simpanan ini bukan sahaja patuh syariah tetapi turut memberi pulangan yang lebih stabil untuk kegunaan anak-anak pada masa akan datang.

 

 

Menurut Dr. Taha lagi, selain menyimpan duit raya anak-anak dalam akaun simpanan, ibu bapa juga boleh mempertimbangkan untuk melaburkannya dalam instrumen patuh syariah. Namun, beliau menegaskan bahawa pelaburan ini perlu dilakukan dengan penuh berhati-hati bagi mengelakkan unsur gharar (ketidaktentuan), maysir (judi), dan riba (faedah).

 

Pilihan Pelaburan Patuh Syariah

  1. Pelaburan Saham
    Pastikan saham yang dipilih tersenarai sebagai patuh syariah oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), seperti yang boleh disemak di Bursa Malaysia-i.

  2. Pelaburan Cryptocurrency
    Antara aset digital yang lebih stabil dan patuh syariah ialah Islamic Coin (Haqq) dan Gold-backed tokens, iaitu token kripto yang disandarkan pada emas sebenar bagi mengurangkan spekulasi melampau.

 

 

Menguruskan duit raya anak bukan sekadar menyimpan, tetapi juga merancang dengan bijak agar ia benar-benar memberi manfaat pada masa depan. Dengan pelbagai pilihan simpanan dan pelaburan yang ada, ibu bapa perlu mengambil inisiatif untuk belajar dan membuat keputusan terbaik. Duit yang diurus dengan baik bukan sahaja membantu anak-anak apabila mereka dewasa, tetapi juga mengajar mereka tentang kepentingan kewangan sejak kecil.

Date of Input: 09/04/2025 | Updated: 09/04/2025 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYEOQAS~