Cuaca Panas Semakin Ekstrem, Malaysia Perlu Perkukuh Kesiapsiagaan Perubahan Iklim | Universiti Putra Malaysia 99 exweb00
» ARTICLE » Cuaca panas semakin ekstrem, Malaysia perlu perkukuh kesiapsiagaan perubahan iklim

Cuaca panas semakin ekstrem, Malaysia perlu perkukuh kesiapsiagaan perubahan iklim

Article Summary
Fenomena cuaca panas yang semakin kerap melanda negara bukan lagi isu bermusim semata-mata, sebaliknya berkait rapat dengan perubahan corak iklim serantau dan global.


Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

 

SERDANG, 1 April — Fenomena cuaca panas yang semakin kerap melanda negara bukan lagi isu bermusim semata-mata, sebaliknya berkait rapat dengan perubahan corak iklim serantau dan global.

 

Pensyarah Kanan, Jabatan Pengurusan Alam Sekitar, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FHAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Yusoff Ishak, berkata peningkatan suhu yang dirasai ketika ini dipengaruhi oleh corak iklim serantau dan global selain peralihan monsun serta taburan hujan.

 

“Penghujung monsun lazimnya menyaksikan kurang hujan, terutama di kawasan utara Semenanjung yang sememangnya mengalami musim kemarau lebih ketara pada awal tahun,” katanya.

 

Menurut beliau, keadaan menjadi lebih serius apabila tempoh kering berpanjangan berlaku, meningkatkan impak haba terhadap persekitaran dan kesihatan awam.

 

 

 

Katanya, faktor tempatan seperti kehilangan kawasan hijau dan pembangunan pesat turut memperburuk keadaan. Gabungan kurang hujan dan kekurangan kawasan hijau yang berfungsi menyerap haba menyebabkan kesan cuaca panas menjadi lebih ketara.

 

“Kawasan tepu bina yang tidak diintegrasikan dengan zon hijau akan memerangkap haba, manakala aktiviti manusia termasuk aliran trafik menyumbang kepada peningkatan suhu setempat,” katanya.

 

Tambah beliau, kekurangan elemen semula jadi seperti jasad air dan hutan menghalang pengaliran haba keluar dari kawasan bandar, sekali gus mencetuskan fenomena pulau haba bandar.

 

“Bentuk muka bumi seperti kawasan lembah juga boleh memerangkap haba dan mempercepatkan pembentukan pulau haba,” katanya.

 

Mengulas keberkesanan usaha pemuliharaan alam sekitar, Dr. Mohd Yusoff berkata impaknya sukar dinilai dalam jangka masa pendek kerana perubahan iklim adalah isu global yang berada di luar kawalan sesebuah negara.

 

“Usaha pengurangan pelepasan karbon misalnya memerlukan kerjasama semua pihak, khususnya negara maju dan penyumbang utama pelepasan global, bagi memastikan kesannya benar-benar signifikan,” katanya.

 

Dr. Mohd Yusoff turut mencadangkan beberapa langkah konkrit bagi meningkatkan daya tahan negara terhadap cuaca panas, termasuk menilai semula program penghijauan bandar.

 

“Penilaian perlu dibuat terhadap kadar kejayaan penanaman pokok, termasuk peratusan pokok yang masih hidup selepas setahun.

 

“Selain itu, pemilihan spesies pokok yang sesuai dan berdaya tahan juga penting bagi mengelakkan risiko seperti tumbang ketika angin kencang,” katanya.

 

Tambah beliau, kesiapsiagaan menghadapi perubahan iklim bukan sahaja perlu tertumpu kepada langkah mitigasi, malah harus diperkukuh melalui usaha adaptasi agar impak yang semakin ketara dapat diimbangi menerusi kerjasama semua pihak.

 

“Hal ini amat penting khususnya bagi komuniti di kawasan titik panas, terutama melibatkan golongan rentan seperti warga emas. Impak fizikal dan emosi perlu diberi perhatian serius, contohnya ketika berlakunya gelombang haba yang melanda kawasan tertentu di negara ini,” katanya.

 

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa dasar berkaitan perubahan iklim di Malaysia sudah tersedia namun aspek pelaksanaan dan kesedaran awam masih perlu diperkukuh.

 

“Dokumen seperti Pelan Adaptasi Nasional (MyNAP) perlu diterjemahkan kepada amalan harian masyarakat supaya negara lebih bersedia menghadapi ketidaktentuan iklim dan menjadi lebih rintang terhadap perubahan ini,” katanya.

Date of Input: 08/04/2026 | Updated: 08/04/2026 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BZEIUAt~