UPM Julung Kali Menjadi Hos Persidangan Kaunseling Sedunia 2025 | Universiti Putra Malaysia
» NEWS » UPM julung kali menjadi hos Persidangan Kaunseling Sedunia 2025

UPM julung kali menjadi hos Persidangan Kaunseling Sedunia 2025

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto Oleh: Mozaid Idris

 

SERDANG, 25 Feb – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP) buat julung kalinya menjadi hos Persidangan Kaunseling Sedunia 2025 serta merupakan anjuran bersama antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi memperkasa profesionalisme kaunselor di peringkat global.

 

Persidangan ini telah dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri dianjurkan melalui Lembaga Kaunselor Malaysia dan Open University Malaysia (OUM) serta mendapat kerjasama dari Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Sunway University sebagai rakan strategik.

 

Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, berkata persidangan itu merupakan platform menghimpunkan professional kaunseling, pendidik, penyelidik dan pelajar untuk membincangkan isu serta penyelidikan terkini dalam bidang kaunseling.

 

“Saya berharap melalui persidangan ini menjadi pemangkin kepada kemajuan, kerjasama, dan perubahan transformasi dalam profesion kaunseling serta memberi inspirasi kepafa penyelidikan baharu bagi menyumbang kepada kesejahteraan individu dan masyarakat di seluruh dunia,” katanya.

 

Tambah beliau, melalui pertukaran idea inovatif, penyelidikan empirikal dan amalan terbaik, ia secara langsung memperkukuhkan profesion tersebut untuk kekal inklusif, dan adaptif terhadap keperluan masyarakat yang sentiasa berubah.

 

“Saya berharap tenaga pengajar dan pelajar UPM menggunakan peluang ini untuk membangunkan penyelesaian inovatif, amalan berasaskan bukti dan kerjasama global yang akan terus mengangkat martabat bidang kaunseling,” katanya.

 

Dekan FPP, UPM, Prof. Madya Dr. Wan Marzuki Wan Jaafar berkata, sebagai fakulti yang melahirkan graduan program Bacelor Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling dengan Kepujian persidangan ini dilihat adalah sejajar dalam memperkukuhkan keperluan dan kemahiran pelajar dalam industri.

 

“Ini secara langsung meningkatkan reputasi UPM sebagai pusat pengajian dan penyelidikan kaunseling bertaraf antarabangsa adan memberi peluang kepada peserta untuk menerbitkan artikel dalam jurnal akademik,” katanya.

 

Tambah beliau, kemajuan pesat dalam teknologi, kecerdasan buatan dan komunikasi digital serta perubahan paradigma sosial dan budaya menuntut kaunselor untuk sentiasa menyesuaikan pendekatan mereka bagi memastikan amalan yang relevan dan berkesan.

 

“Persidangan ini menyediakan platform untuk perbincangan kritikal mengenai isu-isu mendesak ini di samping menggalakkan kolaborasi merentas disiplin dan antarabangsa yang akan membentuk masa depan pendidikan serta amalan profesional kaunseling,” katanya.

 

 

Date of Input: 26/02/2025 | Updated: 26/02/2025 | eszereen

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYCaWAq~