UPM Fokus Dalam Mengukuhkan Kesedaran Alam Sekitar Dan Pendidikan STEM | Universiti Putra Malaysia
» NEWS » UPM fokus dalam mengukuhkan kesedaran alam sekitar dan pendidikan STEM

UPM fokus dalam mengukuhkan kesedaran alam sekitar dan pendidikan STEM

Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim

 

SERDANG, 3 Mac - Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Kolej Tan Sri Aishah Ghani (KTAG) telah mengadakan program Salam Desa Pulau Tuba Siri 2 dan Salam PUTRA Pontian Siri 3 baru-baru ini, bagi meningkatkan kesedaran tentang pendidikan STEM dan kelestarian alam sekitar.

 

Program yang diadakan di Pulau Tuba dan Pontian dengan menjadikannya sebagai Kampung Angkat Madani KTAG@UPM bertujuan untuk menyokong masyarakat setempat dalam aspek pendidikan, kelestarian alam sekitar dan pembangunan sosial bagi kehidupan mereka.

 

Ketua Program, Siti Aisyah Sofea Mohd Zaidi berkata pemilihan Pulau Tuba sebagai kampung angkat ini bertujuan bagi memastikan kesinambungan program kelestarian memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk setempat.

 

“Program ini juga meningkatkan kesedaran masyarakat setempat dengan membantu memulihkan ekosistem tempatan kerana memberi peluang kepada penduduk setempat untuk belajar tentang teknik pemuliharaan supaya boleh diamalkan dalam kehidupan sehari

 

“Kami berharap usaha ini menjadi titik permulaan bagi lebih banyak projek berteraskan pemuliharaan alam supaya meningkatkan kesedaran masyarakat setempat,” katanya.

 

Menurut beliau, seramai 30 pelajar daripada golongan B40 mendapat pendedahan mengenai pelbagai peluang pendidikan tinggi, latihan kemahiran serta motivasi untuk mencapai kecemerlangan akademik.

 

“Pemilihan Pulau Tuba dan Pontian sebagai kampung angkat menunjukkan komitmen Kolej Tan Sri Aishah Ghani dalam memperkasakan komuniti luar bandar melalui pendidikan dan kelestarian alam sekitar,” katanya.

 

Pelajar KTAG, UPM, Siti Aisyah Sofea Mohd Zaidi, berkata melalui program ini, beliau secara langsung berkongsi pengetahuan untuk memperkasakan masyarakat luar bandar dengan ilmu dan kemahiran.

 

“Saya harap dengan penglibatan saya ini dapat meningkatkan kualiti hidup mereka dan memberi pendedahan kepada penduduk di sana bahawa pendidikan sains adalah penting dan berkait dalam penghidupan seharian mereka,” katanya.

 

Rakannya, Muhammad Haziq Noor Azlisham, berkata program ini memberi manfaat kepada penduduk terutamanya kepada bidang pendidikan terutamanya dalam bidang STEM yang mampu memberi kesan positif terutamanya kepada kanak-kanak dan belia.

 

“Perkembangan STEM adalah penting dalam era moden ini dan dengan pendedahan awal ia dapat membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda untuk memahami serta menerokai bidang ini dengan lebih mendalam,” katanya.

 

Dalam pada itu, inisiatif ini bukan sahaja dapat menyumbang kepada pembangunan sosial tetapi juga membentuk sikap prihatin dan cakna terhadap keperluan masyarakat.

 

 

Date of Input: 03/03/2025 | Updated: 03/03/2025 | eszereen

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BYDFBAs~