Kurang Kesedaran Rakyat Banci Atas Talian Bantut Pembangunan Negara | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Kurang kesedaran rakyat banci atas talian bantut pembangunan negara

Kurang kesedaran rakyat banci atas talian bantut pembangunan negara

Article Summary
Pada masa kini, Jabatan Perangkaan sedang giat menjalankan bancian penduduk secara atas talian melalui e-Census bagi mendapatkan data penduduk dan perumahan Malaysia terkini. Program secara atas talian ini bermula sejak 7 Julai 2020 dan diteruskan sehingga 21 Disember 2020 dan bancian bersemuka bermula 20 Jan 2021 hingga 6 Februari 2021.


**This article was published in Bahasa Melayu and has no translation in English

by Dr. Mohd Rohaizat Abd Wahab

 

Pada masa kini, Jabatan Perangkaan sedang giat menjalankan bancian penduduk secara atas talian melalui e-Census bagi mendapatkan data penduduk dan perumahan Malaysia terkini. Program secara atas talian ini bermula sejak 7 Julai 2020 dan diteruskan sehingga 21 Disember 2020 dan bancian bersemuka bermula 20 Jan 2021 hingga 6 Februari 2021.

Data pembancian terkini yang diperolehi setiap sepuluh tahun menjadi sumber rujukan utama dan penting dalam perancangan pembangunan negara oleh kerajaan pada masa akan datang. Hal ini diperlukan bagi mengumpul data maklumat penduduk dan perumahan yang komprehensif dan terperinci merangkumi seluruh kawasan di Malaysia sebagai penanda aras bagi ciri-ciri demografi dan sosio-ekonomi penduduk.

Peningkatan kes Covid-19 di sekitar kawasan Lembah Klang dengan nilai kadar kebolehjangkitan 1.95 R0 menunjukkan risiko jangkitan wabak ini lebih besar. Pada gelombang ketiga ini, kesedaran tentang menjagaan diri dan mengamal SOP yang telah digariskan sangat penting. 

Oleh hal demikian, penggunaan aplikasi e-Census dalam mendapatkan data bancian negara merupakan satu inisiatif yang baik bagi mengelak adanya perjumpaan bersemuka seterusnya dapat mengurangkan penularan wabak berkenaan.

Walau bagaimanapun, inisiatif tersebut kurang mendapat sambutan dalam kalangan rakyat Malaysia. Dilaporkan sehingga 30 September 2020, hanya 7% (2.6 juta) penduduk Malaysia yang mengisi bancian secara atas talian.

Antara punca yang menyebabkan bancian ini kurang mendapat sambutan adalah kerana ianya harus dilakukan secara dalam talian. Kaedah ini mungkin berkesan bagi golongan yang berada di kawasan bandar di mana penggunaan internet dalam kalangan penduduk di bandar lebih meluas.

Bagi golongan yang berada di kawasan luar bandar, di mana majoritinya terdiri daripada golongan berusia, mengisi borang secara dalam talian adalah suatu perkara yang agak membebankan.

Di samping itu, masyarakat juga kurang kesedaran berkenaan bancian dan kepentingannya kepada negara. Ada juga di antara rakyat tidak peka tentang adanya program bancian yang sedang berlaku sekarang dan segelintir menyatakan mereka tidak menerima apa-apa makluman atau poskad daripada Jabatan Perangkaan bagi mengisi borang bancian.

Sekiranya isu ini tidak diberi perhatian, pengumpulan maklumat terkini berkenaan statistik rakyat Malaysia tidak mencapai kepada objektifnya sekaligus akan membantutkan perancangan kerajaan dalam merangka pembangunan negara.

Justeru beberapa cadangan inisiatif pengumpulan data bancian yang boleh dilaksanakan dengan mengambilkira situasi penularan wabak Covid-19 yang semakin berleluasa sekarang.

Pertama, mencadangkan supaya diadakan Census Hour atau waktu bancian iaitu dengan mengajak semua rakyat mengisi e-Census pada waktu dan hari tertentu dalam setiap minggu. Ini dapat mengingat dan memberi masa kepada rakyat untuk bersedia mengisi borang yang telah disediakan di laman e-Census.

Altenatif kedua adalah dengan mengadakan bancian secara temu bual melalui panggilan telefon. Kaedah ini dapat mengelakkan daripada adanya interaksi secara langsung antara penduduk dengan pegawai banci.

Selain itu, pengiriman borang secara manual ke setiap rumah juga boleh diaplikasikan. Setiap ketua rumah harus mengambil peranan mengisi borang tersebut dan kemudian menghantarnya ke pusat pengumpulan yang telah ditetapkan. Kaedah ini sesuai diadakan di kawasan-kawasan luar bandar dan pedalaman memandangkan penggunaan telefon dan teknologi internet masih lagi rendah.

Kerajaan juga boleh memberi insentif seperti rebat atau cashback kepada rakyat yang berjaya melengkapkan data bancian mereka. Ini sebagai ganjaran kepada mereka yang merasakan tanggungjawab dalam melengkapkan data bancian negara.

Hebahan dan publisiti secara meluas melalui media massa dan media sosial harus ditingkatkan. Penyiaran kempen di televisyen, internet, Youtube dan sebagainya lagi penting bagi meningkatkan kesedaran rakyat tentang program ini.

Dapatan data bancian merupakan perkara penting untuk sesebuah negara merancang dan mengunjur perancangan di masa hadapan. Pengumpulan data yang berkualiti juga menjadi keutamaan dengan adanya strategi cara pengumpulan data yang berbeza mengikut kawasan dan demografik.

Hasil dapatan ini boleh memberi maklumat yang sangat berguna kepada negara dengan mendapat gambaran yang jelas tentang maklumat terkini penduduk negara. Sebaliknya sekiranya data yang diperoleh tidak lengkap dan tidak berkualiti, sukar kepada pihak kerajaan untuk merancang dan ia juga boleh membantut pembangunan negara.

 

 

Dr. Mohd Rohaizat Abd Wahab

Penyelidik Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM),
Universiti Putra Malaysia (UPM).

Bidang Kepakaran : Etnomatematik
Nombor telefon : 012-6812270

Date of Input: 20/12/2020 | Updated: 20/12/2020 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BXLDTAO~