Umat Islam Sertai Sembelihan Daging Korban Untuk Lebih Menghayati Aidiladha | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Umat Islam Sertai Sembelihan Daging Korban Untuk Lebih Menghayati Aidiladha

Umat Islam Sertai Sembelihan Daging Korban Untuk Lebih Menghayati Aidiladha

Article Summary
Sejak dua tahun lepas masyarakat di negara ini mendepani cabaran dan dugaan akibat COVID-19 yang melanda di seluruh dunia dan tidak membenarkan ibadah korban dilaksanakan. Ini menyebabkan rakyat akur dengan larangan tersebut demi kebaikan semua pihak.


Oleh:  Nur Syamila Kamarul Arefin

Sejak dua tahun lepas masyarakat di negara ini mendepani cabaran dan dugaan akibat COVID-19 yang melanda di seluruh dunia dan tidak membenarkan ibadah korban dilaksanakan. Ini menyebabkan rakyat akur dengan larangan tersebut demi kebaikan semua pihak.

Suasana perayaan Aidiladha tetap dirasai dengan laungan takbir raya namun aktiviti menyembelih haiwan korban tidak semeriah dahulu kala yang disertai oleh umat Islam untuk menguruskan daging korban bersama-sama dari pagi sehingga ke tengah hari.

Pengarah Pusat Islam, Universiti Putra Malaysia (UPM), Zuhaimi Abdul Rahim berkata, semangat menguruskan daging korban dengan kerjasama dan bersatu padu dalam menjayakannya bersama umat Islam seharusnya diteruskan melalui aktiviti gotong-royong.

“Masyarakat perlu diberi pendedahan tentang perkara-perkara sunat atau afdal bagi pelaksanaan ibadah korban supaya mereka lebih menghayati ibadah korban yang dilaksanakan seperti sunat melihat sembelihan dan ambil bahagian dalam aktiviti gotong-royong yang dilaksanakan.

“Pihak jawatankuasa masjid atau surau setempat dicadangkan menganjurkan ibadah korban bagi memberi peluang kepada penduduk setempat untuk menyertai ibadah korban. Pada zaman yang penuh cabaran ini, anak muda sangat perlu diberi pendedahan berkaitan dengan ibadah ini.

 “Ibu bapa dan guru serta mereka yang bertanggungjawab perlu memberi pendedahan kepada anak-anak tentang hikmah pensyariatan ibadah korban,” katanya.

Nabi SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhnya perkara yang mula-mula kami lakukan pada hari ini (hari Aidil Adha) bahawa kami lakukan solat Aidil Adha kemudian kami balik rumah dan lepas itu kami sembelih korban. Barang siapa yang lakukan demikian ia telah menepati sunahku dan siapa yang menyembelih korban sebelum itu maka dagingnya menjadi daging yang diberikan kepada ahlinya dan bukan dari daging korban.

Pada Hari Raya Aidiladha tanggal 10 Zulhijjah dan hari-hari Tasyrik umat Islam di seluruh dunia berlumba-lumba untuk menunaikan ibadah korban iaitu dengan menyembelih binatang seperti unta, lembu, kerbau dan kambing.

Terdapat hadis Nabi SAW bermaksud; "Tidak ada amalan dilakukan anak Adam pada hari al-Nahr (Hari Aidiladha) lebih dicintai Allah selain menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah itu akan sampai kepada reda Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkan jiwa kamu (dengan berkorban)." (HR Tirmizi). - UPM

Date of Input: 08/07/2022 | Updated: 08/07/2022 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BXLZIAu~