RAYA YANG LEBIH SELAMAT: KESEDARAN DAN LANGKAH-LANGKAH KESELAMATAN SIBER | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » RAYA YANG LEBIH SELAMAT: KESEDARAN DAN LANGKAH-LANGKAH KESELAMATAN SIBER

RAYA YANG LEBIH SELAMAT: KESEDARAN DAN LANGKAH-LANGKAH KESELAMATAN SIBER

Article Summary
Hari Raya Aidilfitri adalah hari peristiwa penting yang mengandungi makna agama dan budaya yang mendalam bagi umat Islam. Aidilfitri merupakan hari kemenangan setelah sebulan menjiwai ibadah berpuasa dengan kepatuhan semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah.


Oleh : Dr. Mohd. Izuan Hafez Hj. Ninggal

Ketua Kumpulan Penyelidikan Keselamatan Siber

Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat

Universiti Putra Malaysia

 

Hari Raya Aidilfitri adalah hari peristiwa penting yang mengandungi makna agama dan budaya yang mendalam bagi umat Islam. Aidilfitri merupakan hari kemenangan setelah sebulan menjiwai ibadah berpuasa dengan kepatuhan semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah.

 

Di hari perayaan ini, keluarga dan sanak handai berkumpul untuk mempersatukan kekeluargaan dan meraikan persahabatan. Sanak saudara, jiran dan rakan taulan saling mengunjungi satu sama lain untuk bertukar salam, memohon maaf, dan berkongsi kegembiraan.

 

Khususnya di Malaysia, hari raya juga melibatkan budaya yang diwarisi dari generasi terdahulu seperti menyediakan juadah istimewa hari raya, kad ucapan hari raya, bergambar keluarga dan handai, serta pemberian wang 'angpau' kepada kanak-kanak.

 

Kini dengan kemajuan teknologi, beberapa amalan tradisi ini telah mula berubah kepada amalan digital yang membawa pembaharuan dan kemudahan kepada kita. Namun begitu, teknologi digital ini juga hadir dengan risiko keselamatan yang berpotensi.

 

Merakam foto semasa perayaan adalah penting untuk mengabadikan saat-saat indah dan berharga bersama keluarga, jiran dan rakan taulan. Berkongsi foto dan cerita aktiviti perayaan ke media sosial membolehkan individu untuk berinteraksi, berkongsi pengalaman dan menyampaikan rasa kepuasan dan kebahagiaan kepada orang lain.

Dalam hal ini, adalah penting untuk diingat bahawa penggunaan media sosial juga perlu diimbangi dengan kesedaran akan privasi dan keselamatan diri. Semasa berkongsi gambar dan segala cerita tentang aktiviti Hari Raya di media sosial, individu mungkin tidak sedar bahawa mereka mendedahkan maklumat peribadi sensitif kepada umum.

 

Ini boleh membuka pintu kepada ancaman keselamatan digital. Contohnya apabila individu berkongsi maklumat seperti gambar rumah mereka, lokasi perayaan, atau butiran peribadi lain, mereka mungkin tidak sedar bahawa kemungkinan ada pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan maklumat tersebut untuk tujuan yang tidak bermoral.

 

Ancaman yang menanti termasuk pengintaian, pencabulan privasi, pencerobohan menyusup masuk ke rumah-rumah yang ditinggalkan atau merancang kegiatan jenayah lain.

 

Oleh itu, adalah penting bagi individu untuk berhati-hati dalam berkongsi maklumat peribadi mereka di platform media sosial dan mengambil langkah-langkah keselamatan tambahan seperti menutup fungsi geo-tagging di kamera telefon bimbit dan menetapkan kawalan privasi yang sesuai untuk menyaring siapa yang dapat melihat kandungan mereka.

 

Sementara itu, menghadiri majlis sambutan hari raya di tempat awam atau rumah terbuka juga merupakan salah satu aktiviti perayaan yang popular. Pada waktu ini, pilihan penggunaan wifi percuma sering menjadi pilihan bagi mereka yang ingin mengekekalkan liputan internet untuk aktiviti dalam talian.

 

Walaupun mudah dan percuma, kaedah ini turut menjadi punca ancaman keselamatan siber. Sebagai contoh, penjenayah siber boleh mewujudkan wifi palsu yang meniru nama wifi sebenar di tempat awam, apabila pengguna tertipu dan membuat sambungan ke wifi palsu ini, penjenayah siber boleh mendapatkan akses kepada semua data yang dihantar dan diterima oleh peranti pengguna.

 

Akibat dari ini boleh menjadi sangat serius dimana pengguna mungkin menghadapi kecurian identiti yang menyebabkan kerugian kewangan yang besar, atau penyalahgunaan maklumat peribadi mereka untuk tujuan jenayah lain.

 

Adalah penting bagi pengguna untuk berhati-hati apabila menggunakan wifi percuma semasa acara sambutan perayaan di tempat awam. Mereka harus mengambil langkah-langkah keselamatan yang sesuai, seperti mengelakkan daripada mengakses laman web yang sensitif seperti perbankan dan melakukan transaksi kewangan semasa menggunakan wifi awam.

Selain itu, tradisi memberi 'angpau' semasa Hari Raya Aidilfitri adalah sebahagian daripada budaya dan adat yang telah diwarisi dari generasi ke generasi dalam masyarakat Malaysia. Ia merupakan satu tanda kemurahan hati yang disampaikan kepada keluarga, sahabat handai dan anak-anak sebagai cara untuk menzahirkan keriangan dan kegembiraan hari raya.

 

Kemajuan teknologi yang semakin berkembang telah mengundang peralihan dari pemberian duit 'angpau' fizikal kepada 'angpau' berbentuk digital. Ini adalah satu manifestasi daripada perubahan gaya hidup terkini di mana penggunaan teknologi digital menjadi lebih meluas dan diterima.

 

Namun begitu, peralihan dari 'angpau' fizikal kepada digital ini juga boleh menyebabkan risiko penipuan dan keselamatan kewangan jika tidak dikendali dengan pengetahuan dan kesedaran.

 

Contohnya, apabila seorang individu ingin memberikan 'angpau' digital kepada kanak-kanak melalui alamat QR tanpa peranti, pihak yang tidak bertanggungjawab boleh memalsukan alamat QR untuk mengalihkan duit 'angpau' ke akaun mereka sendiri.

 

Kejadian ini telah banyak berlaku pada tabung-tabung derma dan sumbangan di masjid-masjid dan tempat-tempat lain. Selain itu, penjenayah siber boleh menggodam telefon bimbit seseorang apabila individu memuat turun aplikasi palsu yang menyerupai aplikasi e-wallet sebenar.

 

Dengan aplikasi palsu tersebut mereka boleh mencuri maklumat peribadi dan memindahkan wang di akaun bank secara jarak jauh. Ini adalah kerana aplikasi palsu tersebut boleh bertindak sebagai ‘trojan’ yang dapat mengakses sistem mesej dan mengintai katalaluan.

 

Oleh itu, adalah penting bagi individu untuk berhati-hati dan memastikan bahawa mereka menggunakan platform digital yang sah dan dipercayai, serta mengambil langkah-langkah keselamatan tambahan seperti memastikan bahawa mereka hanya memuat turun aplikasi dari sumber yang dipercayai dan sentiasa memeriksa kesahihan alamat QR.    

 

Kita telah melihat bagaimana kemajuan teknologi telah membawa perubahan kepada tradisi-tradisi perayaan, tetapi dalam masa yang sama juga membawa risiko keselamatan yang berpotensi. Oleh itu, adalah penting bagi setiap individu untuk meningkatkan kesedaran mereka tentang ancaman siber yang mungkin terjadi dan mengambil langkah-langkah keselamatan yang sesuai untuk melindungi diri dan keluarga dari kesilapan, kecuaian dan kerugian.

 

Semoga dengan kesedaran yang cukup akan mewujudkan persekitaran dan suasana raya yang lebih selamat dan bahagia. Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri!

Date of Input: 17/04/2024 | Updated: 17/04/2024 | ezzatyazhari

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BXLZHAX~