Article Summary
Sisa pepejal merupakan bahan buangan dihasilkan daripada pelbagai aktiviti manusia yang perlu dilupuskan dengan cara sesuai. Sisa pepejal ini terhasil daripada pelbagai sumber yang merangkumi kawasan perumahan, komersial, institusi dan industri. Jenis bahan sisa pepejal yang biasa ditemui adalah sisa makanan, kertas, plastik, kaca, besi, aluminium dan sebagainya.
Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim
Sisa pepejal merupakan bahan buangan dihasilkan daripada pelbagai aktiviti manusia yang perlu dilupuskan dengan cara sesuai. Sisa pepejal ini terhasil daripada pelbagai sumber yang merangkumi kawasan perumahan, komersial, institusi dan industri. Jenis bahan sisa pepejal yang biasa ditemui adalah sisa makanan, kertas, plastik, kaca, besi, aluminium dan sebagainya.
Menurut Prof. Dr. Latifah Abd Manaf dari Fakulti Jabatan Alam Sekitar, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, UPM, faktor yang mempengaruhi kadar kuantiti dan komposisi sisa pepejal dihasilkan di Malaysia adalah seperti faktor pertambahan jumlah penduduk, kepesatan pembangunan dan urbanisasi, jurang ekonomi serta gaya hidup.
“Apabila populasi meningkat, semakin banyak sisa pepejal terhasil kerana kepesatan pembangunan dan urbanisasi menyumbang kepada peningkatan kadar penghasilan sisa pepejal di Malaysia.
“Jika keadaan ini tidak dikendalikan dengan baik, ianya akan dibawa oleh air larian permukaan ke dalam longkang dan seterusnya dialirkan ke dalam sungai yang boleh menyebabkan penyumbatan longkang,” katanya.
Menurut Prof. Dr. Latifah, cara mengurangkan jumlah sisa adalah dengan mengelakkan penggunaan produk sekali guna seperti beg plastik atau botol plastik kerana produk-produk ini mengambil masa sangat lama untuk terurai serta memberi kesan buruk kepada ekosistem.
Masyarakat digalakkan mengguna barang atau produk alternatif yang lebih lestari yang boleh digunakan semula supaya dapat mengurangkan sisa plastik yang berakhir di tempat pembuangan sampah, sungai, dan lautan.
Langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan impak negatif ini adalah dengan menggalakkan masyarakat mengamalkan konsep 3R iaitu Reduce (Kurangkan), Reuse (Guna Semula), dan Recycle (Kitar Semula). Bank Sisa berfungsi untuk meningkatkan penglibatan masyarakat dalam amalan 3R, terutamanya dalam kitar semula.
Prof. Dr. Latifah yang juga merupakan pakar sisa pepejal berkata, inisiatif yang semakin popular dalam pengurusan sisa di Malaysia adalah bank sisa yang menggalakkan masyarakat untuk mengumpul dan mengitar semula bahan-bahan yang boleh digunakan semula.
“Bank Sisa ini mengaplikasikan konsep ‘buy-back’ untuk mendidik masyarakat tentang kepentingan kitar semula serta memberi insentif bagi penyertaan aktif dalam pengasingan dan kitar semula sisa.
“Konsep ini juga memberi insentif yang menarik kepada masyarakat luar bandar dan kecil untuk menyertai dalam pengurusan sisa dengan lebih aktif supaya dapat mengurangkan jumlah sisa yang dibuang ke tapak pelupusan atau dicemarkan ke alam sekitar,” katanya.
Pihak berkuasa perlu menyediakan kemudahan bank sisa yang mudah diakses di kawasan perumahan, kawasan komersial dan taman awam serta mewujudkan pusat pengumpulan kitar semula bagi mengumpul bahan-bahan sesuai untuk dikitar semula.
“Pada pendapat saya, bank sisa boleh menjadi platform yang efektif dalam usaha memelihara alam sekitar dan mengurangkan impak negatif terhadap ekosistem kita serta memupuk masyarakat yang lebih prihatin serta bertanggungjawab terhadap kesejahteraan bumi ini,” ujarnya.
Date of Input: 26/02/2025 | Updated: 26/02/2025 | hairul_nizam
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA