Adakah Kita Bersedia Menentang Perubahan Iklim? | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Adakah kita bersedia menentang perubahan iklim?

Adakah kita bersedia menentang perubahan iklim?

Article Summary
Peranan seorang pemimpin secara amnya adalah mempertahankan kedaulatan negara demi kemajuan dan kesejahteraan hidup semua.


 

 

Peranan seorang pemimpin secara amnya adalah mempertahankan kedaulatan negara demi kemajuan dan kesejahteraan hidup semua. Sebagai sebuah negara demokrasi berperlembagaan, jika pilihan pemimpin itu di tangan rakyat segala tindakan dan keputusan yang diambil oleh kerajaan yang dipimpin olehnya haruslah juga bermanfaat sepenuhnya kepada rakyat.

 

Malah, pertumbuhan ekonomi negara haruslah saling menyokong perlindungan alam sekitar selari dengan Agenda 21 Persidangan Rio 1992 yang bermatlamat untuk menghentikan kerosakan kepada alam sekitar dengan menggalakkan pembangunan lestari. Hal ini kerana kesan perubahan iklim semakin lama semakin ketara dan membimbangkan khususnya di negara Malaysia setelah mengalami beberapa kejadian cuaca ekstrem seperti banjir, pencemaran udara dan air yang semakin kerap, peningkatan suhu yang melampau dan cuaca yang semakin tidak menentu sejak kebelakangan ini.

 

Ia bukan hanya merosotkan kualiti alam sekitar malah menyebabkan penurunan kualiti hidup terutamanya disebabkan oleh peningkatan jurang sosioekonomi dan penurunan tahap kesihatan masyarakat Malaysia. Antara caranya adalah dengan mengorak strategi transformasi ekonomi negara yang adil ke arah lebih lestari dengan memfokuskan kepada peralihan penggunaan tenaga tidak boleh diperbaharui kepada tenaga boleh diperbaharui dan menggiatkan lagi promosi pekerjaan hijau dalam kalangan masyarakat Malaysia terutamanya bagi golongan belia.

 

Golongan muda adalah golongan yang paling kurang menyumbang kepada perubahan iklim namun merekalah juga yang paling terdedah kepada kesan-kesan perubahan iklim. Kerajaan Malaysia haruslah memandang serius dalam usaha untuk meningkatkan penglibatan belia dengan meningkatkan kapasiti anak-anak muda khususnya dalam advokasi dasar awam yang tertumpu pada isu-isu persekitaran dan iklim.

 

Selain itu, usaha harus dipergiatkan bagi memudahkan akses kepada maklumat dan info berkaitan alam sekitar dan dasar-dasar yang berkaitan supaya mereka menjadi lebih cakna dan mampu menyumbang secara bermakna kepada tindakan iklim di peringkat tempatan mahupun antarabangsa dengan menggunakan platform-platform media secara atas talian mahupun bercetak dengan lebih efisien dan menyeluruh.

 

Seterusnya golongan belia juga haruslah diiktiraf sebagai rakan strategik kerajaan dalam proses pembuatan dasar dan proses mengambil keputusan yang mana bukan hanya mampu mendorong pihak kerajaan dalam mengambil tindakan iklim yang lebih bermakna tetapi melahirkan golongan muda yang lebih cakna dan prihatin terhadap isu-isu alam sekitar dan perubahan iklim.

 

Perkara ini juga telah diketengahkan dalam Persidangan Youth4Climate 2022 yang diadakan seiring dengan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77 di New York pada bulan lepas yang telah saya sertai sebagai satu-satunya wakil belia Malaysia. Persidangan ini yang bertemakan “Powering Action” atau ‘pemerkasaan tindakan’ menekankan 4 tema utama iaitu cita-cita pemacu belia, pemulihan mampan, penglibatan pelbagai pihak dan masyarakat cakna iklim.

 

Persidangan ini juga memberi ruang kepada aktivis-aktivis belia daripada seluruh dunia untuk bertukar pendapat, berkongsi pengalaman dan pengetahuan mengenai isu-isu dan inisiatif-inisiatif yang diterajui oleh mereka untuk menangani perubahan iklim serta membuka peluang kepada mereka untuk bekerjasama dan membina sebuah komuniti belia global yang cakna tentang isu-isu alam sekitar dan perubahan iklim.

 

Dalam pada itu, sistem tadbir urus pengurusan alam sekitar perlu koheren, cekap dan responsif kepada keperluan semua kumpulan umur dan khususnya golongan muda dalam mereka bentuk penyelesaian tempatan yang partisipatif dan sistemik. Hal ini kerana saya juga percaya bahawa dalam usaha untuk mengambil tindakan dalam isu perubahan iklim dan alam sekitar harus melibatkan kerjasama antara pelbagai pihak termasuk golongan terpinggir seperti kumpulan belia dan masyarakat Orang Asli serta mengambil kira pandangan mereka supaya dapat mengambil keputusan yang lebih inklusif dan komprehensif.

 

Tindakan kerajaan Malaysia baru-baru ini dalam menangani isu-isu alam sekitar haruslah dipuji. Antaranya pemindaan Akta Kualiti Alam Sekililing 1974 dengan meningkatkan kadar hukuman bagi penjenayah alam sekitar, usaha untuk peningkatan kesiapsiagaan menangani bencana banjir dalam bentuk pemantapan sistem amaran, pembinaan infrastruktur air yang berdaya tahan terhadap bencana iklim, pembangunan Agenda Transformasi Sektor Air Negara 2040, pelaksanaan Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Nasional dengan meningkatkan kecekapan penggunaan dan pengurusan tenaga serta penggubalan rang undang-undang perubahan iklim.

 

Selain itu, pembangunan dasar sahaja tidak mencukupi sekiranya masyarakat Malaysia tidak ada kesedaran dan ilmu tentang keperluan untuk memberi keutamaan kepada isu perubahan iklim dan kelestarian alam dan bahawasanya mereka juga mempunyai peranan yang sangat penting untuk mendukung matlamat kerajaan agar tidak menjadi umpama besar pasak daripada tiang, besar sandal daripada gelegar.

 

Salah satu caranya adalah dengan meningkatkan literasi alam sekitar melalui pemantapan strategi pemindahan ilmu. Perkara ini dapat dilakukan dengan memaksimumkan kapasiti gedung-gedung ilmu di negara kita seperti institusi-institusi pendidikan untuk memainkan peranan yang aktif untuk melahirkan generasi muda yang berilmu dan prihatin terhadap alam sekitar sekaligus menjadi agen penyebar kesedaran di persekitaran mereka sendiri.

 

Pada masa yang sama, pihak kerajaan juga haruslah menggiatkan lagi usaha untuk menggalakkan pusat-pusat ini melalui insentif kewangan dan kemudahan supaya meningkatkan kajian, inovasi dan projek komuniti yang lebih berfokuskan kepada pengurusan alam sekitar dan perubahan iklim.

 

Laporan Penilaian Keenam Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC) menunjukkan bahawa pelepasan gas rumah hijau daripada aktiviti manusia bertanggungjawab untuk pemanasan suhu global kira-kira 1.1°C sejak akhir abad ke-19, dan mendapati bahawa purata suhu global dalam tempoh 20 tahun akan datang, dijangka mencapai atau melebihi 1.5°C.

 

Isu perubahan iklim yang semakin lama semakin parah ini haruslah diambil serius sama sepertimana kita bertindak untuk menangani wabak COVID-19 yang menghantui hidup masyarakat dunia sejak dua tahun yang lepas. Dalam sebuah artikel penulisan Bill Gates yang diterbikan oleh The GatesNotes menyatakan bahawa impak daripada perubahan iklim mungkin boleh menjadi lebih teruk daripada wabak COVID-19 jika tidak ditangani dengan segera. Jika kita boleh melakukannya untuk menangani COVID-19, kita boleh melakukannya untuk perubahan iklim.

 

Oleh itu, menjelang Persidangan ke-27 Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (COP27-UNFCCC) juga yang bakal berlangsung pada bulan November ini di Sharm El Sheikh, Mesir, saya menyeru kepada kerajaan Malaysia agar komited dalam mengutamakan keperluan menangani isu perubahan iklim dengan efisien dan menerapkannya dalam pembangunan negara dari segi ekonomi, sosial dan politik secara menyeluruh.

 

Saya juga ingin menekankan bahawa tindakan yang progresif dan segera amatlah kritikal bagi mengehadkan impak perubahan iklim yang memberi tekanan bukan hanya kepada persekitaran tetapi juga kepada kesejahtaraan dan kemakmuran masyarakat Malaysia.

 

Saya berharap agar komitmen dapat diterjemahkan kepada perlaksanaan dengan memberi keutamaan kepada ketelusan dalam tadbir urus perubahan iklim serta penyertaan rakyat yang aktif dan inklusif untuk membina negara dan persekitaran yang mampan. Perubahan iklim adalah krisis global dan usaha  untuk memitigasinya adalah tanggungjawab kita bersama!

 

 

Mogesh Sababathy

Pelajar Ijazah Kedoktoran, Universiti Putra Malaysia (UPM)

 

Date of Input: 19/10/2022 | Updated: 19/10/2022 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BXLZIAU~